KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menafikan dakwaan daripada sebuah akhbar tempatan bahawa dia sudah menghantarkan surat untuk menamatkan kontrak lebih awal dan hanya menuntut bayaran gaji tiga bulan.

Dalam siaran media yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pan-gon berkata: "Saya ingin menafikan laporan berita yang disiarkan di portal BH Online pada jam 7:57 malam tadi bahawa saya telah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya.

"Kenyataan dalam laporan berita tersebut yang dipetik daripada sumber itu sama sekali tidak tepat kerana saya tidak menghantar apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

"Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagi menjelaskan mengenai perkara ini dan saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja.

"Untuk makluman semua penyokong Harimau Malaya, saya akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontrak saya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027," katanya. - Stadium Astro